Friday, 26 August 2011

berebut produk perut?


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani


Kalau dihidangkan perut lembu.. jadikan kerabu perut lembu buat lauk berbuka rasanya berbaloi gak. Betul tak? Tapi menu ini bukan lah topik yang nak dibentangkan Mardhatillah Seeker sekarang.
Mari renungkan satu kisah ni..

Si Langau terbang bebas bersiar-siar pada suatu pagi yang hening. Seperti biasa ia terbang mencari rezeki. Sedang asyik menikmati keindahan matahari terbit sambil terbang ke destinasi kesukaan, ia terhidu sesuatu yang menakjubkan. Maklumlah awal-awal pagi ni ‘rezeki-rezeki’nya murah, tambah-tambah ia terbang berdekatan dengan ladang penternakan lembu Pak Cik Senyum Terserlah Gusinya. Lalu tanpa membuang masa Si Langau terus terbang laju meluncur udara ibarat jet pejuang Air Force ke arah rezeki panasnya yang mengeluarkan aroma yang amat asyik sekali baginya.

Sedang Si Langau menambah kelajuan maksimanya, ia melihat Si Lalat pula yang telah berada di hadapannya, turut menuju ke a rah yang sama. Kehadiran mengejut Si Lalat membuatkan Si Langau berasa amat marah! Si Langau pun memintas Si Lalat dan merempuhnya di angkasa raya.

“Aduh! Apa yang kau buat ni Si Langau? Butakah?” Jerit Si Lalat kesakitan dan terkejut dengan tindakan Si Langau.

“Ah, kau yang bersalah! Dasar keturunan lalat! Tak boleh tengok aku senang!” Bentak Si Langau.

Si Lalat yang bingung berkata, “Apa kau cakap ni? Aku pantang betul sebut-sebut keturunan ni.”

“Si Lalat! Kau jangan nak ubah cerita! Aku yang nampak ‘produk perut’ itu dulu! Milik aku la jadinya!” jerkah Si Langau.

“Tidak! Aku yang terbang ke arahnya dulu. Kau lambat lah Si Langau. Ia milik aku serta sekutuku!” Balas Si Lalat.

“Aku yang punya!” Si Langau tetap pertahankan kata.

“Milik aku lah!” Si Lalat tidak mahu mengalah.

Mereka berterusan bertekak. Berbalas kata, pertahankan kononnya hak kepunyaan masing-masing. Keadaan itu terus berlarutan. Masing-masing tidak mahu mengalah. Si Langau tetap dengan katanya, Si Lalat pula tetap dengan ujarnya.

Sedang berlawan air liur, menjerit-jerit antara satu sama lain, datang Pak Cik Senyum Terserlah Gusinya dengan but kuning ala-ala Phua Chu Kang mengutip ‘produk perut’ rebutan hati jantung jiwa dan bakul Si Langau dan Si Lalat tersebut. Si Langau dan Si Lalat kaget dan terkedu.

“Alhamdulillah. Uish! Panas lagi ni. Haha… Boleh buat baja ni. Jimat kos.” Ujar Pak Cik Senyum Terserlah Gusinya sambil mengumpulkan ‘produk perut’ rebutan kedua-dua makhluk itu tadi ke dalam tong yang ditariknya.

Akhirnya, Si Langau dan Si Lalat hanya berpandangan satu sama lain dengan perasaan yang amat kecewa yang tak mampu digambarkan di sini.

Korang tahu apa yang Si Langau dan Si Lalat rebutkan sampai bertekak sakan, bertegang urat leher? Hah! Korang semua pandai-pandai.. bijak-bijak belaka… mestilah tahu kan…. Si Langau dan Si Lalat berebutkan hak milik atas TAHI LEMBU tahu? Betapa kta tengok tak ada faedah nya lah nak rebut yang itu. Macam tak ada pilihan lain lah pula. Geleng kepala sambil buat muka terkilan.

Mardhatillah Seeker di sini nak berpesan janganlah terdetik sikit pun  di hati nak jadi seperti Si Langau atau Si Lalat tu. Tetapi, ramai sangat umat manusia yang membuat keputusan yang lebih teruk lalu menjadi lebih seperti tidak berakal berbanding dengan Si Langau dan Si Lalat tadi.

Ibaratnya Si Langau dan Si Lalat tadi ialah kaum Hawa dan Tahi Lembu rebutan itu pula ialah kaum Adam. Jangan panas punggung pula. Rileks. Baca sampai habis dulu. Ini bukan gender bias. Ini sememangnya terjadi dalam realiti kehidupan masyarakat sekeliling kita kini. Semakin hari semakin menjadi-jadi. Bertindak lebih teruk daripada binatang seakan-akan mereka boleh jamin diri masing-masing pasti miliki hari yang mendatang. Semata-mata kerana lelaki yang seorang, perempuan sanggup saling menjatuhkan maruah dan martabat mereka merebut tempat di sisi lelaki itu. Kalau diperhatikan pula, lelaki yang direbutkan itu tidaklah pula termasuk dalam senarai para pemuda yang Allah ta’ala mahukan! Rokok setia di antara jari telunjuk dan jari tengahnya, asap tak habis-habis berkepul keluar dari hidung dan mulutnya, kepala lutut pun ditayang sana sini, ilmu ditanya tidak tau apa, apatah lagi kalau soal bab agama. Itu yang direbutnya? Geleng kepala dengan muka reaksi nak muntah. Sebab itulah Mardhatillah Seeker samakan dengan Tahi Lembu. Ada paham?

Sebab si perempuan pula Mardhatillah Seeker samakan dengan langau dan lalat, faham-faham lah keadaan mereka macam mana kan… Merewang sana sini tanpa tujuan, buat bising ketawa selayaknya pontianak tarik perhatian, tindak tanduk mahu ikut yang jahiliyyah saja… Mana nilai mereka yang agama Islam telah muliakan? Mana mereka humbankan?

Tidaklah  Mardhatillah Seeker katakan diri ini cukup sempurna tetapi terlalu tidak patut mereka berkelakuan seperti itu. Ia meruntun jiwa lebih parah daripada perasaan hiba tatkala melihat kanak-kanak Somalia di sana! Madhatillah Seeker baru saja saksikan ‘adegan drama’ percuma sebentar tadi. Sebab itulah Mardhatillah Seeker terlintas untuk katakan di sini. Sekarang hampir pukul 3.00 pagi waktu Tanah Melayu yang semakin melayu ini. Apalah yang Si Langau dan Si Lalat banggakan sangat merebut Tahi Lembu itu sampai terjerit-jerit, memekik-mekik antara satu sama lain waktu-waktu pagi buta ni depan khalayak tahi-tahi lembu yang lainnya? Mardhatillah Seeker yang melihat di sebalik jendela pun jadi pelik.Dahlah malam Jumaat, bulan Ramadhan minggu terakhir pula tu. Malaikat-malaikat yang Allah ta’ala perintahkan turun ke bumi pun makin bingung melihat makhluk-makhluk yang semakin menempa tiket percuma ke tempat kembali yang menyala-nyala dengan amat dahsyat itu. Sedih melihat mereka semakin tenggelam dalam gelombang dunia yang mereka ciptakan. Tetapi Allah ta’ala berulang-ulang kali mengingatkan dalam Al-Quran…

Maka barangkali engkau (Muhammad) akan mencelakakan dirimu kerana bersedih hati setelah mereka berpaling, sekiranya mereka tidak beriman kepada keterangan ini (Al-Quran).
(Surah Al-Kahf, 18 : 6)

Yakin bahawa janji Allah itu benar dan pasti. Kita menyampaikan dan terpulanglah kepada mereka membuat arah tuju layar kehidupan mereka.

Katakanlah, “Wahai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri! Janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa  (kecuali syirik) semuanya. Sungguh, Dialah Yang Maha Pengampun, Maha Penyayang.

Dan kembalilah kamu kepada Tuhanmu, dan berserah dirilah kepada-Nya sebelum datang azab kepadamu, kemudian kamu tidak dapat ditolong.

Dan ikutlah sebaik-baik apa yang telah diturunkan kepadamu (Al-Quran) dari Tuhanmu sebelum datang azab kepadamu secara mendadak, sedang kamu tidak menyedarinya,
(Surah Az-Zumar, 39 : 53-55)

Mardhatillah Seeker terfikir… Apakah Ramadhan dirasakan tiada apa-apanya pada kehidupan masyarakat umum sekarang? Menjelang Ramadhan, adakah bazaar iftar sahaja yang menjadi topiknya? Tundukkan kepala menahan perasaan.




“Bila usaha seseorang itu hanya untuk perutnya, maka harga hidupnya sama seperti apa yang dikeluarkan dari perutnya itu.”




Selamat menghayati Ramadhan yang semakin meninggalkan kita. Berdoalah dan berharaplah kita semua akan dipertemukan lagi dengan Ramadhan pada tahun-tahun yang akan mendatang. Amin!







No comments: